Kompilasi Karangan Darjah 6

202

Pengalaman Luqman Dengan Penyeluk Saku


Bunyi deruman kereta menyentak Luqman daripada lamunan mimpinya. Luqman terjaga. Alangkah terkejutnya dia apabila sedar bahawa dia sudah lewat ke sekolah. Luqman terus meluru ke tandas.


Tidak sampai lima minit, Luqman sudah tercegat di pagar rumahnya. Dia tergesa-gesa untuk keluar rumah. Ibu sempat menghulurkan roti kepada Luqman untuk dia makan.


Seperti lipas kudung, Luqman menuju ke perhentian bas. Malangnya nasib Luqman, bas itu beredar sejurus dia tiba.

 

"Ah! Apalah nasibku," keluh Luqman. 


Nasib baik bas yang kedua tiba dengan segera. Namun, Luqman terpaksa berasak-asak naik bersama penumpang yang lain. Luqman terpaksa berdiri. Semasa bas dalam perjalanan, tiba-tiba, Luqman perasan lelaki di sebelahnya cuba menyeluk beg tangan seorang penumpang wanita. Luqman dengan pantas menjerit,


"Oi! Pencuri!"


Lelaki itu dengan pantas berlari ke belakang bas. Pemandu bas menghentikan bas. Keadaan dalam bas menjadi kecoh. Ada penumpang cuba menahan lelaki tadi. Wanita tadi memeriksa beg tangannya. Dia lega beg duitnya tidak diambil.


Luqman gembira apabila pemandu bas itu membawa bas itu ke balai polis terdekat. Lelaki itu diserahkan kepada pihak polis. Luqman berasa puas kerana tindakannya yang pantas telah berjaya menyelamatkan wanita itu daripada menjadi mangsa penyeluk saku.


Dalam kegembiraan itu, Luqman teringat dia sudah lewat untuk ke sekolah. Dia dengan segera berlari ke sekolah sambil berharap dia tidak akan dimarahi oleh gurunya.


Mohamed Ihsan Bin Mohamed Kasim 

6 Diligence (2024)

                                                                                    

Akibat Cuai


Adam ialah seorang budak yang suka bermain dengan telefon bimbitnya. Dia tidak pernah berenggang dengan telefon bimbitnya. Ke mana sahaja dia pergi, dia akan memegang telefon bimbitnya. Tidak ada orang boleh menggunakannya. Adam akan menggunakan telefon bimbit itu untuk bermain dan melayari media sosial. Ibu Adam selalu menegur Adam. Namun, Adam tidak mengendahkan nasihat ibunya.


Pada suatu petang, dalam perjalanan menuju ke rumah neneknya, telefon Adam berbunyi. Kawannya, Syafiq, telah meninggalkan pesanan ringkas. Adam membuka pesanan Syafiq. Rupa-rupanya, Syafiq ada mengirimkan video untuk tontonan Adam. Adam menonton video itu sambil berjalan. Dia terhibur menonton video itu sehingga hilang fokus sewaktu berjalan. Dia tidak sedar ke mana dia pergi. 


“Adui! Habis buah limau aku ini!” teriak seorang wanita secara tiba-tiba.

 

Adam tersentak. Kepalanya sakit. Dia telah melanggar seorang wanita yang sedang berjalan di hadapannya tadi. Adam dengan pantas membongkok dan membantu wanita itu untuk mengutip buah limau yang bersepah di lantai.


Adam berulang kali meminta maaf kepada wanita itu. Dia berasa sungguh bersalah. Wanita itu berasa amat marah. Dia merampas plastik buah daripada Adam. Dia menjeling dan berlalu pergi bersama seorang lelaki di belakangnya. Adam menundukkan kepala dan berlalu pergi.


Adam teringat dia perlu membeli barang di kedai runcit sebelum ke rumah neneknya. Adam menyeluk sakunya untuk mencapai telefon bimbitnya. Alangkah paniknya Adam apabila sedar telefon itu tidak ada di dalam sakunya.


Adam mencari sekeliling tempat itu. Dia semakin risau kerana setelah lama mencari, telefon itu masih belum ditemuinya. Adam tidak ada pilihan lain. Dengan perasaan sedih, dia berlalu dari situ menuju ke rumah neneknya. Dalam perjalanan, Adam tidak henti berfikir di mana telefon bimbitnya berada.


Sampai sahaja di rumah nenek, Adam menangis. Nenek Adam terperanjat melihat kelakuan Adam dan bertanya apa yang sudah berlaku. Adam menerangkan kepada nenek segala yang terjadi. Nenek menggelengkan kepalanya. 


“Itulah Adam, kamu tidak mendengar nasihat ibu kamu. Kamu cuai. Beritahu ibu kamu apa yang berlaku. Banyak keburukan yang berlaku kerana kelalaian kamu menggunakan telefon,” nenek menasihati Adam.


Adam sedar dia bersalah. Dia amat menyesal. Dia juga tahu dia tidak boleh mendapatkan telefon baharu kerana harga telefon mahal dan tidak mungkin ibu akan membelikannya satu lagi. 


Natasha Nur Aqilah Binte Hairul Nizam 

6 Responsibility (2024)

2020

Hilang


Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi. Ramai orang sibuk membuat persiapan. Puan Zahra juga tidak melepaskan peluang berbelanja untuk ahli keluarganya. Puan Zahra seorang yang bertanggungjawab. Dia selalu fikirkan tentang ahli keluarganya.


Sabtu lalu, Puan Zahra membawa anaknya, Nazreen dan Azhar ke pusat beli-belah Causeway Point. Mereka telah ke kedai pakaian. Azhar sibuk memilih seluar ‘jeans’ manakala Nazreen sedang mencuba gaun. Setelah memilih, mereka ke kaunter pembayaran. Mereka seronok dapat membeli pakaian-pakaian baharu. Apabila meninggalkan kedai, Puan Zahra bersin. Dia memberitahu kedua-dua anaknya untuk tunggu di luar tandas sementara dia membasuh tangannya.


Azhar yang keras kepala tidak mendengar arahan ibunya. Dia telah mengajak adiknya ke kedai mainan yang berdekatan dengan tandas. Apabila mereka berada di dalam kedai itu, mereka berdua berasa amat ghairah kerana terdapat banyak permainan di situ. Azhar yang tadinya disuruh menjaga adiknya telah hilang fokus. Dia terlalu khusyuk melihat permainan kereta sehingga dia tidak sedar bahawa adiknya sudah tidak lagi berada disampingnya.


Tiba-tiba bahu Azhar ditepuk. Azhar tersentak. Ibunya, Puan Zahra kelihatan marah. Dia bertanya Azhar di mana Nazreen. Barulah Azhar sedar Nazreen tidak ada di sisinya. Muka Azhar menjadi pucat seperti mayat. Puan Zahra terus mencapai tangan Azhar dan seperti lipas kudung mereka bergegas ke kaunter informasi. Mereka melaporkan tentang kehilangan Nazreen. Pegawai bertugas melihat kamera litar. Mujurlah mereka ternampak Nazreen yang sedang menangis menunggu di luar kedai pakaian.


Sepantas kilat, Puan Zahra dan Azhar meluru ke kedai itu untuk mendapatkan Nazreen. Apabila mereka tiba di kedai itu, ramai orang sedang mengerumuni Nazreen dan cuba menenangkan dia. Puan Zahra terus mendakap Nazreen. Nazreen menangis teresak-esak. Azhar berasa lega kerana adiknya telah ditemui. Nazreen berasa takut. Dia meminta maaf kepada ibunya. Azhar juga dengan pantas meminta maaf. Mereka berdua berjanji tidak akan merayau lagi dan mendengar pesan ibu. Puan Zahra bersyukur anak-anaknya selamat. Dia tersenyum dan memimpin tangan Nazreen dan Azhar menuju ke kedai kasut kerana mereka bertiga perlu sambung sesi membeli-belah untuk persiapan hari raya.


Batrisyah Khairiany Bte Md Fareed

6 Compassion (2020)

                                                                                    

Satu Kecuaian


Ana mengeluarkan tuala untuk pertandingan nanti. Dia ada pertandingan bola keranjang pada hari itu. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Ana mengangkat panggilan itu. Rupa-rupanya itu ibunya.


“Ana, nanti ambil sepuluh dolar di atas meja dan beli makanan tengah hari Ana. Ibu pulang lewat hari ini.” pesan ibu.


“Baiklah” balas Ana.


Sebelum mengemas begnya, dia menyimpan duit yang diberikan oleh ibunya itu ke dalam beg duitnya. Selepas mengemas beg, dia menelefon kawannya, Siti untuk pergi ke gelanggang bola keranjang bersama.


Setibanya mereka di gelanggang, perlawanan antara sekolah Ana dan Sekolah Rendah Woodlands pun dimulakan. Selepas perlawanan itu, Ana dan Siti pergi ke Pusat Makanan Sembawang. Ana dan Siti mengeluarkan tuala untuk mengelap muka mereka yang dibasahi peluh. Semasa Ana mengeluarkan tualanya, beg duitnya terjatuh. Ana tidak perasan.


Mereka pun meneruskan perjalanan mereka. Apabila mereka tiba di pusat makanan itu, tempat itu telah dipenuhi ramai orang. Oleh itu, Siti mencari tempat duduk sementara Ana membeli makanan. Selepas Siti terjumpa dua tempat duduk, barulah Ana memesan makanan. Apabila Ana mahu membayar makanannya, dia tercari-cari beg duitnya.


Tiba-tiba, budak dari gelanggang bola keranjang itu menghampirinya dan memberi Ana beg duitnya. Rupa-rupanya, budak yang lurus akal itu pun hendak ke pusat makan. Apabila beg duit Ana terjatuh, budak itu mahu memberinya kepada Ana tetapi Ana sudah tidak kelihatan.


Ana mengucapkan terima kasih kepada budak itu dan memberi dua dolar kepada budak itu sebagai ganjaran. Budak itu senyum lebar dan kembali ke mejanya. Ana lega dan membayar makanan itu. Dia bersyukur kerana masih dapat meneruskan niatnya makan di pusat itu dengan Siti. Gara-gara kecuaiannya, Ana hampir sahaja kehilangan beg duitnya.


Mohamed Nabil Fuad bin Abdul Halim

6 Integity (2020)