Kompilasi Karangan Darjah 5

2024

Bersikap Jujur


Keadaan di jalan raya sangat bising pada pagi itu. Sepasang anak dan ibu sedang menunggu teksi di tepi jalan raya. Puan Siti dan anaknya, Azmi, sudah terlewat pada pagi itu. Secara tiba-tiba, ada sebuah teksi menghampiri mereka. Azmi berasa lega kerana dia tidak akan lewat ke sekolah.


Teksi yang menghampiri itu berhenti di hadapan Azmi. Ada seorang penumpang keluar dari teksi itu lalu berlari sepantas kilat. Penumpang itu kelihatan kelam-kabut. Dia mungkin sudah terlewat untuk menghadiri mesyuarat. Azmi dengan perasaan gembira menaiki teksi itu.


Puan Siti kemudian manaiki teksi itu dengan cepat. Puan Siti menutup pintu teksi dengan kuat. Pemandu teksi itu lalu memandu pergi. Puan Siti bersyukur anaknya tidak akan lewat ke sekolah pagi itu. 


Azmi menoleh ke sebelah tempat duduknya. Dia ternampak sampul di tempat duduk itu. Dia terkejut. Dia ingin tahu apa yang ada di dalam sampul itu. Azmi memberitahu ibunya. Ibunya mengambil sampul itu untuk mencari nama atau alamat pemilik sampul itu. Puan Siti teruja melihat wang yang banyak di dalam sampul itu.


Puan Siti memberitahu pemandu teksi itu tentang penemuan sampul tersebut. Pemandu teksi itu pun melihat aplikasi ‘Grab’.  Menerusi aplikasi itu, pemandu teksi itu tahu nama, nombor telefon dan alamat penumpang yang menaiki teksinya sebelum Azmi dan ibunya menaiki teksi tersebut. Pemandu teksi itu menelefon pemilik sampul itu. Mereka berjaya memulangkan sampul tersebut. 


Penumpang yang kelam-kabut tadi merupakan pemilik sampul itu. Penumpang itu berasa bersyukur lalu mengucapkan terima kasih kepada Azmi, Puan Siti dan pemandu teksi itu. Azmi belajar daripada peristiwa itu untuk sentiasa lurus akal.


Aisha Binte Abdul Ghani

5 Perseverance (2024)

                                                                                    

Kemalangan Yang Tidak Disangkakan


Pada suatu pagi Jumaat, Daniel dan kawan-kawannya berbincang untuk ponteng sekolah. Mereka mahu berjumpa untuk bermain papan beroda. Daniel memberitahu kawan-kawannya untuk memakai pakaian seragam sekolah seperti biasa apabila mereka keluar dari rumah. Dia juga mengajar kawan-kawannya untuk membawa pakaian rumah mereka dan menyimpannya ke dalam beg sekolah supaya ibu bapa mereka tidak akan mengetahui tentang rancangan mereka untuk ponteng sekolah pagi itu.


Daniel dan kawan-kawannya pun berjumpa di taman yang berdekatan dengan rumah mereka. Selepas itu, mereka telah ke tandas awam untuk menyalin pakaian. Mereka kemudian meneruskan perjalanan untuk bermain papan beroda. Daniel dan kawan-kawannya sangat menggemari sukan yang lasak. Oleh itu, mereka bercadang untuk bermain papan beroda di sebelah jalan raya yang penuh sesak dengan kereta. Mereka mahu menunjukkan kehandalan mereka bermain.


Ada seorang pejalan kaki yang sedang berjalan di kawasan itu. Pemuda itu ternampak aksi Daniel dan kawan-kawannya yang berbahaya. Dia juga berasa hairan melihat mereka bermain pada waktu itu sedangkan itu ialah waktu sesi sekolah.  Dia menghampiri mereka lalu bertanya sebab mereka tidak berada di sekolah pagi itu. Daniel dengan selambanya memberitahu pejalan kaki itu bahawa ibu dan bapa mereka tahu dan telah memberikan keizinan untuk mereka bermain pagi itu. Pemuda itu menasihati mereka tentang bahayanya bermain di kawasan jalan raya. Mereka sepatutnya bermain di tempat yang lebih yang sesuai seperti di taman. Namun, Daniel dan kawan-kawannya mengejek pemuda itu. Mereka juga tidak mengendahkan nasihat pemuda itu. 


Daniel dan kawan-kawannya seronok bermain. Secara tiba-tiba, Daniel hilang kawalan. Dia tergelincir lalu terjatuh di jalan raya. Dia cuba bangun dengan cepat kerana ada sebuah kereta yang menghampirinya. Dia berasa cemas. 


Kawan-kawannya menjerit nama Daniel dengan kuat tetapi Daniel tidak dapat bergerak. Kereta tersebut semakin dekat. Mujur kereta itu  dapat berhenti dengan cepat. Pemandu itu keluar dari keretanya untuk memeriksa keadaan Daniel dan segera menelefon ambulans. Beberapa minit kemudian, ambulans tiba. Pegawai paramedik membawa Daniel ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital. 


Ibu dan bapa Daniel telah dihubungi oleh pihak hospital. Mereka bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anak mereka. Mujurlah kecederaan Daniel tidak parah.  Daniel memberitahu ibu dan bapanya apa yang terjadi. Dia sangat menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya itu.


Muhammad Faris Arman Bin Ahmad Zaime

5 Respect (2024)

2020

Akibat Keras Kepala


Pada hari Isnin yang lalu, Imran dan kawan-kawannya bermain papan beroda di tepi jalan raya. Mereka tidak pergi ke sekolah. Mereka bermain sehingga tiga petang sebelum mereka berehat sebentar.


Tiba-tiba, seorang pemuda berjalan ke arah mereka dan menasihati mereka,


"Kenapa awak bertiga berada di sini? Sepatutnya kamu berada di sekolah dan bukan bermain di tepi jalan raya."


Mereka tidak mengendahkan nasihat pemuda itu. Sebaliknya, mereka bercakap dengan biadap dan mengejeknya. Pemuda itu berasa kecewa dengan perangai Imran dan kawan-kawannya lalu pergi dari situ.


Setelah itu, Imran dan kawan-kawannya menyambung permainan papan beroda. Tiba-tiba, Imran tergelincir dan jatuh ke tengah jalan raya. Malangnya, sebuah kereta meluncur laju ke arah Imran. Kawan-kawannya berlari ke arah Imran tetapi dia tidak sempat menyelamatkan Imran. Imran dilanggar oleh kereta itu.


Sebulan selepas kemalangan itu, Imran barulah sedar daripada koma. Mujurlah Imran dapat disembuhkan. Ibu bapa Imran, pemandu kereta dan kawan-kawannya berada di hospital melawati Imran bergilir-gilir. Pemandu kereta itu minta maaf berkali-kali. Imran berasa menyesal dan tidak akan membuat perkara begitu lagi. Inilah akibatnya kalau kita bersikap keras kepala.


Aqida Insyira Binte Aminnudin

5 Diligence (2020)

                                                                                    

Kemalangan Di Sekolah


Cuaca pagi itu amat cerah. Murid-murid berpusu-pusu menuju ke kantin. Ali dan kawan-kawannya, Budi dan Laila pula menuju ke Taman Eko. Mereka hendak tengok bunga-bunga yang ada di Taman Eko.


Apabila mereka tiba di situ, mereka ternampak ada ramai murid di sana. Tiba-tiba, mereka nampak seekor sibur-sibur. Mereka amat teruja dan mengikuti sibur-sibur itu. Sibur-sibur itu terbang dan hinggap di atas sekuntum bunga teratai di dalam kolam. Sibur-sibur itu kelihatan amat cantik.


Ali ghairah melihat sibur-sibur itu. Dia pergi ke hujung kolam dan cuba mencapai bunga teratai itu. Kawan-kawan Ali bimbang melihat perbuatan Ali yang bahaya itu. Budi cuba menghalang Ali tetapi Ali tidak peduli. Dia masih lagi terus cuba mencapai sibur-sibur itu.


Tiba-tiba, Ali terjatuh ke dalam kolam itu. Budi dan Laila terkejut. Mereka menjerit meminta pertolongan dengan segera. Laila ternampak Cikgu Siti dan dia berlari ke arahnya untuk meminta bantuan. 


Tanpa membuang waktu, Cikgu Siti bersama Budi dan Laila menarik Ali keluar dari kolam. Baju dan seluar Ali basah kuyup. Cikgu Siti membawa Ali ke pejabat sekolah untuk menukar bajunya. Setelah Ali menukar baju dan seluarnya, dia meminta maaf kepada Cikgu Siti dan kawan-kawannya. Dia juga berjanji tidak akan membuat perkara seperti itu lagi.


Muhammad Rizqin Danial Bin Azman

5 Diligence (2020)